Pindahmilik / Longgar Sekatan
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN LONGGAR SEKATAN KEPENTINGAN
Semua jenis hakmilik tanah yang terdapat sekatan kepentingan hakmilik seperti di bawah perlu membuat permohonan kebenaran longgar sekatan kepentingan:
1) Tanah yang dikurniakan ini tidak boleh dijual, dipajak, dicagar, digadai atau dipindahmilik dengan apa cara sekalipun, termasuk dengan cara menggunakan segala surat perjanjian yang bertujuan untuk melepaskan atau menjual tanah ini tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri
2) Tuan tanah selepas nama pemaju, tidak boleh menjual atau memajak ataupun memindahmilik tanah ini dengan apa cara sekalipun, termasuk dengan cara menggunakan segala surat perjanjian yang bertujuan melepaskan atau menjual tanah ini tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri
3) Tanah yang terkandung di dalam hakmilik ini apabila sahaja bertukar miliknya kepada seorang bumiputra / syarikat bumiputra maka tidak boleh terkemudian daripada itu dijual, dipajak atau dipindahmilik dengan apa cara sekalipun kepada orang yang bukan bumiputra/ bukan syarikat bumiputra tanpa persetujuan Pihak Berkuasa Negeri
KEBENARAN KHAS:
Pekeliling PTG Johor Bil.10/1986, Pihak Berkuasa Negeri telah memberi persetujuan yang menyeluruh bagi membolehkan pemohon membuat gadaian kepada :
- a) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri
- b) Badan-Badan Berkanun
- c) Semua Bank-Bank Perdagangan yang berurusniaga di Malaysia
- d) Semua Bank-Bank Bukan Perdagangan yang ditubuhkan di bawah undang-undang
- e) Semua Syarikat Kewangan yang berdaftar dan berurusniaga di Malaysia
- f) Semua Koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi
PERHATIAN :
Urusan pendaftaran perlu didaftarkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh surat kelulusan. Kebenaran boleh diperbaharui selepas tamat tempoh 6 bulan tetapi tidak melebihi satu tahun dari tarikh surat kelulusan dengan dikenakan bayaran perlanjutan tempoh kelulusan.
Tiada perlanjutan tempoh dibenarkan selepas tamat tempoh 1 tahun. Permohonan baru perlu dikemukakan sekiranya pemohon masih berminat untuk meneruskan pindahmilik, pajakan atau gadaian.
SYARAT-SYARAT PERMOHONAN LONGGAR SEKATAN KEPENTINGAN
1) Permohonan kebenaran pindahmilik tanah bagi kategori rumah kedai kos rendah/ kos sederhana rendah hanya boleh dipertimbangkan jika disertakan dengan surat persetujuan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan Johor.
2) Permohonan kebenaran pindahmilik tanah lot bumiputra daripada bumiputra kepada bukan bumiputra hanya boleh dipertimbangkan jika disertakan dengan iklan asal surat khabar (3 kali dalam masa 3 bulan).
DOKUMEN-DOKUMEN YANG PERLU DISERTAKAN BERSAMA BORANG PERMOHONAN
1) Salinan hakmilik yang telah didaftarkan nama pemohon sebagai pemilik berdaftar.
2) Salinan kad pengenalan pemohon dan penerima.
3) Salinan surat kelahiran (sekiranya balasan kasih sayang dan Tanah Rizab Melayu).
4) Salinan surat persetujuan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan Johor (sekiranya pindahmilik tanah bagi
kategorirumah kos rendah).
5) Surat persetujuan pemegang gadaian (sekiranya tanah masih dalam gadaian).
6) Keratan asal iklan surat khabar (3 kali dalam masa 3 bulan) sebagai bukti (sekiranya tanah lot bumiputra).
7) Perintah yang memberi kuasa untuk memindahmilik tanah (sekiranya pemohon dilantik oleh mahkamah).
8) Sijil Pendaftaran Syarikat, Borang 49, Borang 24, ‘Memorandum of Articles of Association , Resolusi Syarikat (sekiranya pindahmilik melibatkan sesebuah syarikat).
9) Sesalinan resit cukai tanah dan cukai harta bagi tahun semasa.
PEROLEHAN HARTANAH OLEH KEPENTINGAN ASING
TAFSIRAN KEPENTINGAN ASING (SEKSYEN 438B KTN)
Sesuatu kepentingan kumpulan, kepentingan individu atau pihak yang bertindak secara bersama merangkumi;
(1) Individu bukan warganegara Malaysia dan/atau
(2) Individu Pemastautin Tetap atau
(3) Syarikat asing atau institusi asing atau/dan
(4) Syarikat tempatan atau institusi tempatan yang mana pihak di butiran (A) dan/atau (B), memiliki lebih daripada 50% hak mengundi dalam syarikat tempatan atau institusi tempatan berkenaan.
KATEGORI TANAH, JENIS BANGUNAN DAN HARGA MINIMA YANG DIBENARKAN DIMILIK OLEH KEPENTINGAN ASING
PEMBELIAN TERUS DARIPADA PEMAJU
Kategori | Syarat | Kouta | Harga Minima |
Bangunan Kediaman | 1. Rumah Teres 2 tkt. dan ke atas 2. Rumah Klauster 2 tkt. dan ke atas. 3. Rumah Berkembar 2 tkt.dan ke atas 4. Rumah Sesebuah (Banglo) 2 tkt. dan ke atas. 5. Lot Kosong untuk Banglo 6. Pangsapuri/Holiday Home | 20% 20% 30% 30% 30% 50% | RM 1,000,000 Dan ke atas |
Bangunan Perniagaan/ Komersial | 1. Kedai 3 tkt. dan ke atas 2. Kedai/Pejabat 3 tkt. dan ke atas. 3. Ruang Pejabat/Ruang Perniagaan dalam Kompleks Perniagaan 4. Pangsapuri Perkhidmatan | 10% 10% 20% 50% | RM1,000,000 Dan ke atas |
Perusahaan/ Industr | Kepentingan Asing dibenarkan memperolehi hartanah kategori perusahaan tanpa perlu kebenaran Pihak Berkuasa Negeri | Tiada Had | RM 1,000,000 Dan ke atas |
PEMBELIAN DARIPADA INDIVIDU/SYARIKAT (BUKAN PEMAJU) – PASARAN SEKUNDER (SUB-SALES)
Kategori | Syarat | Harga Minima |
Bangunan Kediaman | 1. Rumah Teres 2 tkt. dan ke atas 2. Rumah Klauster 2 tkt dan ke atas 3. Rumah Berkembar 2 tkt dan ke atas. 4. Rumah sesebuah (Banglo) 2 tkt. dan ke atas. 5. Lot Kosong untuk Banglo 6. Pangsapuri/Holiday Home | RM 1,000,000 Dan ke atas |
Bangunan Perniagaan/ Komersial | 1. Kedai 3 tkt. dan ke atas. 2. Kedai/Pejabat 3 tkt. dan ke atas 3. Ruang Pejabat/Ruang Perniagaan dalam Kompleks Perniagaan. 4. Pangsapuri Perkhidmatan | RM1,000,000 Dan ke atas |
Perusahaan/ Industri | Kepentingan Asing dibenarkan memperolehi hartanah kategori perusahaan tanpa perlu kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. | RM 1,000,000 Dan ke atas |
Pertanian | Tidak boleh memiliki kecuali secara pajakan sahaja. Kepentingan Asing boleh memohon kebenaran untuk memajak tanah kategori pertanian bagi tujuan berikut ;- 1. Menjalankan aktiviti pertanian komersial menggunakan teknologi tinggi dan moden atau 2. Menjalankan projek agro perlancongan atau 3. Menjalankan aktiviti pertanian atau industri berasaskan pertanian bagi menghasilkan produk untuk dieksport. 4. Tempoh pajakan 10 tahun dan ke atas. 5. Didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat tempatan. | RM 1,000,000 Dan ke atas atau berkeluasan lebih 15 ekar, mana yang lebih tinggi. |
PINDAHMILIK ATAS BALASAN KASIH SAYANG
Kebenaran perolehan hartanah oleh kepentingan Asing atas balasan kasih sayang di kalangan Keluarga terdekat boleh dipertimbangkan tanpa mengambilkira jenis hartanah dan nilaiannya tetapi masih tertakluk kepada kebenaran dan bayaran kelulusan sebanyak minima RM 20,000 bagi setiap hakmilik.
Keluarga terdekat bermaksud individu yang mempunyai hubungan perkahwinan (suami/isteri) atau pertalian darah (datuk, nenek, ibu, bapa, aik-beradik dan anak-anak termasik anak tiri dan anak angkat yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara).
PEROLEHAN HARTANAH MELALUI :
PERINTAH PUSAKA/PERINTAH MAHKAMAH
Kepentingan Asing dibenar memperolehi semua jenis hartanah yang diwarisi selepas mendapat Perintah Pembahagian Pusaka atau Perintah mahkamah kecuali Tanah dalam Rizab Melayu dibawah Enakment Rizab Melayu 1936. Bayaran kelulusan adalah DIKECUALIKAN
KEPENTINGAN ASING TIDAK DIBENARKAN MEMPEROLEHI :
(1) Unit Rumah Kediaman/Kedai di bawah kategori Kos Rendah dan Sederhana Rendah.
(2) Unit Rumah Kediaman jenis teres satu atau satu setengah tingkat.
(3) Unit Kedai atau Kedai/Pejabat jenis teres kurang 3 tingkat.
(4) Hartanah yang diperuntukan kepada kuota Bumiputra dalam sesuatu projek pembangunan hartanah kecuali telah mendapat pelepasan daripada Pejabat SUK Cawangan Perumahan Johor.
(5) Tanah yang dikeluarkan Perintah Jualan oleh Mahkamah atau lelongan awam. (Sek.256-260 KTN)
(6) Hartanah di atas Tanah Rizab Melayu.
(7) Gerai atau Bengkel Perkhidmatan.
(8) Tanah Pertanian yang dibangun berasaskan konsep homestead.
(9) Hartanah yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
*Sila rujuk Pekeliling PTG JOHOR Bil. 2 Tahun 2014 bertarikh 10.2.2014 di halaman Laman Utama- Pekeliling Tahun 2014.
SENARAI SEMAK (CHEK-LIST) KETIKA MENGEMUKAKAN PERMOHONAN
MAKLUMAN PEMOHON/PEMBELI
(1) Salinan Passport dan kad Pengenalan
(2) Jika Pemohon sebuah syarikat;
– M&A, Borang 49 dan Borang 24
– Resolusi syarikat
– Pengesahan Setiausaha Syarikat mengenai Struktur pemilikan dan pegangan syer semasa
(3) Salinan Surat Perjanjian Jualbeli (S&P)
(4) Salinan Hakmilik Tanah
(5) Salinan Resit Cukai Tanah dan Cukai Harta Tahun semasa.
(6) Salinan Perintah Pembahagian Pusaka/Perintah mahkamah yang diakui sah dan salinan Sijil Kematian jika Permohonan
(7) Surat Akuan – “Deed of Gift” bagi pemohon atas dasar kasih sayang.
MAKLUMAT PEMILIK TANAH/PENJUAL
(1) Salinan Passport dan Kad Pengenalan
(2) Jika Penjual/Pemilik sebuah syarikat;
– M&A, Borang 49 dan Borang 24
– Resolusi syarikat
– Pengesahan Setiausaha Syarikat mengenai Struktur pemilikan dan pegangan syer semasa
(3) Jika pembelian daripada Pemaju :
Format A – Perlu dilengkapkan oleh Pemaju
(4) Surat Persetujuan daripada pihak berkepentingan (Pengkaveat atau Pemegang Gadaian)
*BORANG PERMOHONAN – Sila Rujuk halaman- Muat Turun Borang Bahagian Pendaftaran.