𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐘𝐀𝐁 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐁𝐄𝐒𝐀𝐑 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 𝐊𝐄 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐍𝐀𝐈𝐊 𝐓𝐀𝐑𝐀𝐅 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐆𝐈𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐊𝐌𝐈𝐋𝐈𝐊 𝐒𝐓𝐑𝐀𝐓𝐀, 𝐏𝐓𝐆 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor berbesar hati menerima lawatan kerja Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi ke tapak projek naik taraf Bahagian Hakmilik Strata yang terletak di Aras 1, Bangunan Dato’ Mohammad Salleh Perang, Kota Iskandar.
Ketibaan YAB Menteri Besar Johor disambut oleh Pengarah PTG Johor, Tuan Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali, bersama barisan pegawai dan warga kerja jabatan. Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf ruang pejabat yang kini giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.
Sepanjang lawatan tersebut, YAB Menteri Besar Johor turut melawat beberapa komponen utama ruang yang sedang dinaik taraf, termasuk kawasan menunggu pelanggan, ruang kerja kakitangan, bilik kebal dokumen hakmilik, serta kemudahan infrastruktur yang lain. Pemerhatian khusus turut diberikan kepada susun atur ruang yang lebih tersusun, selesa dan kondusif untuk pelanggan serta warga kerja jabatan.
Projek ini merupakan antara KPI YAB Menteri Besar Johor menerusi Belanjawan Johor 2025 yang dibentangkan pada hujung tahun lalu, sebagai cerminan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan di Pentadbiran Tanah Johor.
Penambahan kaunter perkhidmatan serta pengoptimuman ruang kerja dijangka mampu meningkatkan kecekapan urus niaga, mempercepatkan proses penyampaian, serta mengurangkan masa menunggu—sekali gus memberi manfaat terus kepada rakyat.
PTG Johor menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan dan sokongan Kerajaan Negeri Johor terhadap sektor pentadbiran tanah sebagai antara pemacu utama hasil pembangunan negeri. Pentadbiran Tanah Johor kekal komited untuk terus mendukung aspirasi YAB Menteri Besar Johor dalam menjadikan Johor sebagai negeri maju dan sejahtera.