Perutusan Pentadbir Tanah Kluang

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat, kurnia dan izin-Nya, kita terus diberi kesempatan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam mengurus serta mentadbir urusan tanah di Daerah Kluang.
Sebagai Pentadbir Tanah Daerah Kluang yang baharu menerajui Pejabat Tanah Daerah Kluang, saya menyedari bahawa amanah yang dipikul ini hadir bersama tanggungjawab dan cabaran yang besar. Justeru, saya percaya bahawa kekuatan sesebuah organisasi terletak pada semangat kebersamaan, kerjasama dan komitmen seluruh warga kerja dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.
Seiring dengan aspirasi Pentadbiran Tanah Johor dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, responsif, telus dan berintegriti, Pejabat Tanah Daerah Kluang akan terus memberikan perhatian kepada usaha penambahbaikan berterusan, pendigitalan perkhidmatan serta pemerkasaan sistem penyampaian bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin dinamik.
Dalam mendepani perubahan semasa, kita perlu sentiasa bersedia untuk menerima pembaharuan dan memanfaatkan teknologi secara optimum tanpa mengabaikan nilai integriti, profesionalisme, akauntabiliti dan kualiti perkhidmatan. Keutamaan kita adalah memastikan setiap urusan berkaitan pentadbiran tanah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, cekap dan berkesan demi memberikan pengalaman perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan pemegang taruh di Daerah Kluang.
Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Pejabat Tanah Daerah Kluang atas dedikasi, kesungguhan dan komitmen yang diberikan. Saya berharap agar budaya kerja yang positif, semangat berpasukan dan kerjasama erat dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan Pejabat Tanah Daerah Kluang sentiasa progresif, kreatif dan berintegriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Sekian, terima kasih.
Haji Mohd Norman bin Haji Mohd Noh
Pentadbir Tanah
Pejabat Tanah Daerah Kluang



