𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐈𝐇𝐘𝐀’ 𝐑𝐀𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍 𝟏𝟒𝟒𝟕𝐇/𝟐𝟎𝟐𝟔𝐌 “𝐘𝐎𝐊 𝐊𝐀𝐂𝐀𝐔 𝐁𝐔𝐁𝐔𝐑” 𝐀𝐍𝐉𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐊𝐄𝐋𝐀𝐁 𝐊𝐄𝐁𝐀𝐉𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐑𝐄𝐊𝐑𝐄𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐓𝐆 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 𝐒𝐄𝐑𝐓𝐀 𝐏𝐔𝐒𝐏𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀 𝐏𝐓𝐆 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑
Program Ihya’ Ramadan 1447H/2026M bertemakan “Yok Kacau Bubur” telah berjaya dilaksanakan pada 12 Mac 2026 bersamaan 22 Ramadan 1447H bertempat di Perkarangan Unit Kuatkuasa, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor. Program ini dianjurkan secara bersama oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi PTG Johor dengan kerjasama PUSPANITA PTG Johor sebagai salah satu inisiatif mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
Program ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Puan Hajah Nurul Naqiah binti Fadzil, Timbalan Pengarah (Pendaftaran) serta disertai oleh pegawai-pegawai dan warga kerja PTG Johor yang bersama-sama bergotong-royong menyediakan bubur lambuk serta bubur pulut hitam.
Suasana program berlangsung dengan penuh semangat kerjasama dan kemeriahan apabila para pegawai-pegawai serta warga kerja berganding bahu dalam proses penyediaan dan pengagihan bubur.
Bubur-bubur yang telah dimasak diagihkan kepada pegawai, warga kerja PTG Johor dan tidak ketinggalan orang awam yang sedang berurusan di PTG Johor ketika agihan dijalankan serta jabatan-jabatan berhampiran sebagai tanda penghargaan dan perkongsian rezeki sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan untuk menghidupkan semangat Ramadan melalui aktiviti kebajikan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat ukhwah dalam kalangan warga kerja PTG Johor. Diharapkan jalinan kebersamaan yang terhasil melalui program seperti ini akan terus diperkukuhkan dan berkekalan pada masa akan datang.



