Majlis Amanat Pengarah Tanah dan Galian Johor Tahun 2023
12 Januari 2023, Kota Iskandar – Pejabat Tanah dan Galian Johor telah membuka tirai 2023 secara rasminya dengan penganjuran Majlis Amanat Pengarah Tanah dan Galian Johor Tahun 2023 bertempat di Bilik Tayangan, Bangunan Sultan Ismail.
Majlis dimulakan dengan sesi pengenalan warga kerja baru PTG Johor lantikan tahun 2022 dan 2023 serta bacaan Aku Janji dan Ikrar Bebas Rasuah yang telah diketuai oleh Encik Mohd Joehearry bin Abd Hamid, kakitangan daripada Bahagian Pendaftaran.
Dalam amanatnya, YB Dato’ Haji Ashari bin Kasnan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah atas sumbangan seluruh warga kerja PTG Johor. Menyingkap tabir 2022 yang begitu mencabar, Pentadbiran Tanah Johor telah berjaya memungut hasil sebanyak RM1,071,458,698.17 iaitu bersamaan 100.05% melepasi sasaran tahunan yang ditetapkan. Tahniah diucapkan buat seluruh warga Pentadbiran Tanah Johor secara amnya.
Beliau turut menyeru kepada seluruh warga PTG Johor untuk meningkatkan disiplin diri serta membudayakan integriti dalam urusan kerja seharian bagi memantapkan tadbir urus di PTG Johor. Dipenghujung ucapannya, beliau turut mengingatkan warga kerja PTG Johor supaya sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama, bersepakat dan bertanggungjawab dalam apa jua perkara dan tindakan agar semua perancangan yang telah disusun untuk tahun 2023 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.